Sunday, November 1, 2009

Falsafah Haji - dipetik dari Al-Azim.com

MENUJU KE JALAN ALLAH
Kita hendaklah sentiasa bersyukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberikan taufik dan hidayah-Nya kepada kita sehingga dengan berbekalkan iman yang teguh kita telah dapat mencari penentuan hidup yang diredhai Allah. Kita juga harus bersyukur kerana kita telah dan dipilih oleh Allah menjadi tetamu-Nya dengan mengunjungi Baitullah bagi menunaikan fardhu haji. Insya-Allah. Mudah-mudahan Ibadat Haji yang akan dikerjakan menjadi satu ibadat yang boleh memberikan satu pengajaran dan pedoman bagi meningkatkan iman dan amal kita seterusnya bagi menuju jalan yang diredhai Allah untuk kebahagiaan kita di dunia dan akhirat.

PENGGUNAAN HARTA
Menunaikan fardhu haji diwajibkan kepada mereka yang berkuasa sampai kepada-Nya, yakni mereka yang mempunyai kemampuan dalam semua aspek, khasnya kemampuan perbelanjaan di mana aspek tersebut jika digunakan bagi tujuan menyampaikan diri ke Tanah Suci untuk menunaikan fardhu haji adalah menepati kehendak kegunaan harta yang sebaik-baiknya.
IBADAH HAJI BEKALAN UNTUK AKHIRAT Ibadat haji selain daripada berfungsi mensucikan dosa-dosa, ia juga merupakan bekalan yang tepat menuju akhirat setelah sekian lama kita hidup di dunia yang fana ini. Sesungguhnya mereka sanggup berkorban harta benda, wang dan jiwa raga untuk memperhambakan diri dengan sebenar-benarnya kepada Allah, mereka tergolong dalam golongan yang mendapat petunjuk dan hidayah serta ketinggian martabat iman di sisi Allah.

PENGORBANAN HAJI
Setiap ibadat yang sempurna memerlukan pengorbanan dari segi tenaga, masa, wang dan perasaan yang perlu dicurahkan. Ibadat haji khususnya bukan sahaja mengorbankan tenaga, masa dan perbelanjaan yang banyak yang dikumpulkan bertahun-tahun, bahkan ia berkehendakkan seseorang itu menanggung perpisahan dengan keluarga, sanak saudara, sahabat handai, harta kekayaan dan kampung halaman serta menahan kemahuan-kemahuan nafsu semasa dalam ihram. Ia juga merupakan satu pengorbanan yang luarbiasa dari kelaziman menunaikan ibadt-ibadat lain dalam hidup kita sepanjang tahun, umpamanya sembahyang lima waktu boleh dilakukan dalam rumah sendiri, di bilik berkipas atau berhawa dingin, begitu juga puasa boleh berbaring-baring malah tidur pun boleh di bilik yang selesa dengan tidak perlu keluar rumah.

Ibadat haji tidak memungkinkan seseorang itu mencapai kehendak ibadatnya dengan begitu mudah, kita perlu menghadirkan diri kita ke Tanah Suci dengan keadaan yang luar dari kebiasaan. Dalam ertikata lain, kita mesti keluar dari kelaziman dan kesenangan yang diterima selama ini, di mana keadaan di Tanah Suci tidak memberi peluang untuk kita menikmati keselesaan seperti di negara sendiri. Kita terpaksa berkhemah di Arafah dan Mina dengan pakaian putih di atas padang pasir memperkata dan membisikkan sesuatu kepada Allah bagi memohon keampunan dan keredhaan sebelum kembali kepada-Nya. Ibadat haji merupakan kemuncak pengorbanan seseorang hamba kepada Allah sudah tentu mempunyai kelebihan dan ganjaran yang banyak serta hikmah yang besar.

Firman Allah dalam surah Al-Haj ayat 27 hingga 29, maksudnya: "Dan serulah manusia supaya mereka mengerjakan haji, nescaya mereka akan mendatangimu dengan berjalan kaki dan menunggang kenderaan berjenis-jenis unta yang kurus. Mereka datang dari seluruh pelusuk rantau yang jauh supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah bagi mereka, serta mereka dapat mengingati dengan menyebut nama Allah pada hari-hari yang tertentu dengan sebab Allah telah mengurniakan mereka binatang-binatang ternakan untuk dijadikan qurban.

Dengan yang demikian makanlah darinya (daging qurban itu) dan berilah makan kepada orang yang susah lagi fakir, (kemudian hendaklah membersihkan diri mereka, dan hendaklah mereka menyempurnakankan nazar-nazar mereka dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu)".

Dalam ayat tersebut Allah memerintahkan supaya haji itu hendaklah disempurnakan sekalipun dengan berjalan kaki atau berkenderaan menunggang unta yang kurus dengan sebab jauhnya berjalan. tah ada balasannya, balasan bagi haji ada dinyatakan dalam banyak hadis Rasulullah SAW.Di antara hadisnya dari Abu Hurairah, maksudnya: "Barangsiapa menunaikan haji ke Baitullah, sedangkan ia tiada melakukan persetubuhan dan perkara-perkara yang dilarang, maka bersihlah ia dari dosanya seperti pada hari ia dilahirkan oleh ibunya".

Pengertian Haji - dipetik dari Al-Azim.com

Haji merupakan perlakuan ibadah umat islam yang mempunyai banyak simbolik yang dikemukakan kepada manusia dalam bentuk penonjolan diri, demostrasi atau perisytiharan, bukan menuntut sesuatu yang bersifat kebendaaan atau keduniaan, tetapi demontrasi untuk menyatakan tauhid dengan slogan dan laungan kalimah suci, Allahhu Akhbar, Allah Maha Besar, berulang-ulang kali dengan keyakinan dan ketaqwaan, pengakuan yang jelas dan tegas sekalipun kufur atau musyrikin tidak menyenanginya.

Pengisytiharan tauhid yang jelas dan laungan yang tegas dilakukan serentak menyebut nama Allah, "Labayk Allah Humma Labbyk, Labbaykka La Syarikalak Labbayk, Innal Hamda Wa al- Ni'mata Laka wa al-Mulk, La Syarikalak", dilaungkan bukan kerana sesuatu kekurangan, tetapi penyataan sesuatu ibadah dalam bentuk demontrasi menentang syirik, kezaliman dan kesesatan yang dilakukan oleh manusia yang tidak mentauhidkan Allah.
Sikap dan pendirian yang tegas dalam perkara 'ubudiah yang menjadi ajaran para anbia' sejak zaman-berzaman perlu diisytihar dengan jelas supaya sekali-kali jangan terlibat dengan syirik atau tanghut.

Sebaliknya hendaklah mengabdikan diri semata-mata kerana Allah - diri, pemikiran, fizikal, harta benda dan nawaitunya hanya semata untuk Allah. Segala bentuk kesesatan, syirik atau penyembahan system yang menuju ke arah taghut wajib dijauhi.
Islam tidak menuntut sikap bertindak balas terhadap pihak yang memsongkan akidah, tetapi bersikap Islam, kebaikan dan keamanan. Bagaimanapun, jika mereka sering dan terus berusaha menyelewengkan manusia daripada mentauhidkan Allah maka diwujudkan suatu amalan ibadah dalam bentuk demonstrasi terang-terangan bagi melawan kerja-kerja mereka yang sesat sekalipun orang-orang musyrikin, golongan kuffar dan munafiqun tidak menyenanginya.