Sunday, April 13, 2008

Majlis Sambutan Maal Hijrah 1429 Surau At-Taufiqiyyah

Alhamdulillah pada 12hb April 2008 bersamaan dengan 5hb Rabiul Akhir 1429, satu majlis sempena sambutan Maal Hijrah 1429 bagi kariah Taman Kajang Perdana dapat diadakan.

Bermula dengan aktiviti pada sebelah petang hari Sabtu iaitu selepas solat Asar, Ahli Jawatan Surau dan beberapa kariah Taman Kajang Perdana bersama sama membuat beberapa persiapan akhir bagi menjayakan majlis tersebut. Sebuah khemah yang disewa telah dipasang bagi memudahkan para kariah menikmati jamuan yang disediakan. Di samping kerja-kerja persiapan terakhir, semua yang ada pada petang tersebut juga dapat menikmati pisang goreng panas yang dimasak oleh Saudara Basir dan isteri beliau.

Selesai solat Maghrib berjemaah yang diimami oleh Pengerusi/Imam surau, iaitu Al-Fadhil Ust. Dr. Fakrul Adabi, semua kariah yang hadir dijemput menikmati jamuan nasi dan kuih-muih yang disediakan. Masuk waktu Isyak, para hadirin kemudiannya menunaikan solat Isyak secara berjemaah.

Acara seterusnya adalah tayangan yang disediakan oleh Cikgu Nokman berbentuk saintifik dan juga peringatan kepada kita semua berkenaan dengan Hari Kiamat serta kemusnahan harta benda, nyawa akibat kerakusan manusia yang tidak mengenal Allah s.w.t. Tayangan tersebut diadakan lebih kurang selama 35 minit.

Bagi menceriakan lagi majlis pada malam tersebut, acara pertandingan azan diadakan. Seramai 7 orang anak-anak kariah mengambil bahagian di dalam pertandingan tersebut. Kemudian disusuli pula oleh persembahan nasyid juga daripada anak-anak kariah iaitu sebanyak 3 kumpulan. Anak-anak yang mengambil bahagian begitu bersemangat sekali dalam menjayakan acara tersebut.

Bagi acara penutup, majlis penyampaian hadiah dan saguhati disampaikan oleh Pengerusi/Imam surau. Beliau juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua Jawatan Kuasa Surau serta sambutan kariah yang ramai hadir dalam menjayakan majlis tersebut, dalam keadaan sekali sekala Allah s.w.t menurunkan hujan rahmatNya. Insyaallah majlis-majlis sebegini akan dapat diadakan lagi pada masa-masa akan datang. Semoga dengan adanya majlis yang sebegini, ianya dapat menarik lebih ramai lagi kariah untuk memenuhi Surau At-Taufiqiyyah ini bagi menunaikan solat berjemaah di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama kariah Taman Kajang Perdana. Sekian terima kasih.

Thursday, April 10, 2008

Tazkirah Pagi Jumaat

Allah SWT telah berfirman(maksudnya):

"..dan janganlah kamu memburuk-burukkan antara satu sama lain. Adakah kamu suka memakan daging saudaranya sendiri yg telah mati? Maka sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat dan Maha Penyayang" (al-Hujurat: 12)

Daripada Abi Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yg beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka berkatalah perkara yg baik ataupun diam" (Bukhari: 11/265, Muslim: 47)

Daripada Abi Musa RA bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah, siapakah sebaik-baik muslim? Baginda lalu menjawab: Siapa yg menjaga orang-orang Islam daripada lidah dan tangannya" (Bukhari: 1/51,52 & Muslim: 42)

Daripada 'Uqbah ibn Amir RA bahawa beliau berkata: "Wahai Rasulullah SAW, apakah kejayaan? Jawab nabi: Kamu menahan dirimu dari ucapan-ucapan yg tidak baik" (Riwayat Turmizi, dan beliau mengatakan hadis ini Hasan, 2407)

"Ketahuilah bahawa mengumpat dibenarkan dengan tujuan yg sohih/benar/syar'ie di mana tidak akan sampai sesuatu yg ingin disampaikan kecuali dengan cara mengumpat. Terdapat 6 keadaan yg membenarkannya:

1. Orang yg dizalimi dibenarkan menyatakan kezaliman orang yg berlaku zalim kepada mana-mana pihak yg mempunyai kuasa untuk menahan kezaliman tersebut.

2. Meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran dan menentang kemaksiatan kepada kebaikan dan kebenaran.

3. Meminta fatwa daripada mufti berhubung dengan masalah yg menimpa dirinya disebabkan oleh orang lain. Maka dalam hal ini, dibenarkan seseorang mendedahkan keburukkan orang tersebut untuk memahamkan mufti supaya fatwa yg dikeluarkan tepat dan tidak terpesong.

4. Memberi peringatan dan nasihat kepada orang-orang Islam daripada kejahatan.

5. Hendaklah orang yg diumpat itu mendedahkan kefasiqakkan dan bid'ahnya secara nyata dan terang-terangan seperti merampas harta orang lain dengan zalim, memimpin dalam perkara-perkara yg batil dan menghalalkan perkara yg haram seperti arak dan sebagainya.

6. Memanggilnya dengan istilah yg sesuai dengan perbuatan jahatnya seperti orang pekak, orang bisu dan sebagainya tetapi mengelakkannya adalah lebih baik.

Keenam-enam keadaan ini merupakan sebab dibenarkan mengumpat yg telah disebutkan oleh para ulama" (Riadus Solihin, m.s 271-273, Muassasah ar-Risalah)

Wallahua'lam


Wednesday, April 9, 2008

Minit Mesyuarat Bulanan Surau At-Taufiqiyyah

Assalamualaikum w.b.t

Bagi pengetahuan kariah Taman Kajang Perdana, minit mesyuarat bulanan surau akan disediakan dalam masa lebih kurang 3-4 hari selepas setiap kali mesyuarat diadakan. Ia kemudiannya akan ditampal di papan notis surau untuk rujukan bersama.

Pihak Jawatan Kuasa juga mengalu-alukan mana-mana kariah yang berminat untuk menghadiri mesyuarat bulalan yang diadakan bagi sama-sama menyumbang tenaga dan buah fikiran dalam mengadakan serta menjayakan aktiviti-aktiviti untuk Surau At-Taufiqiyyah.


Sekian, terima kasih.

Tuesday, April 1, 2008

Pasar Harian di Taman Kajang Perdana

Sebuah pasar harian yang dibina oleh pihak pemaju, D-Hill Sdn Bhd telah pun beroperasi sejak lebih kurang sebulan yang lepas iaitu awal bulam Mac 2008. Walaupun masih belum ramai peniaga yang telah memulakan perniagaannya, diharap, sedikit sebanyak dapat memberi kemudahan kepada para penduduk Taman Kajang Perdana dalam mendapatkan barangan harian yang diperlukan.

Sehubungan dengan beroperasinya pasar harian ini, pihak Jawatan Kuasa Surau At-Taufiqiyyah, Taman Kajang Perdana juga telah bersetuju di dalam Mesyuarat Bulan Mac 2008 agar pasar harian ini TIDAK DIBENARKAN sama sekali diniagakan barangan atau produk yang Tidak Halal seperti daging khinzir(babi), minuman keras dan sebagainya. Ini adalah bertujuan untuk menjamin keselesaan penduduk Islam (majoriti) Taman Kajang Perdana.

Satu surat kepada pihak pemaju iaitu D-Hill Sdn Bhd telah dihantar pada tarikh 29hb Mac 2008 (hari Sabtu) menyatakan perkara tersebut. Surat tersebut juga akan dibuat salinan kepada YDP Majlis Perbandaran Kajang, Ybhg. Ahli Parlimen Hulu Langat, Pejabat Agama Islam Hulu Langat dan Persatuan Penduduk Taman Kajang Perdana.

Sekian, terima kasih.

Setiausaha Surau At-Taufiqiyyah
Taman Kajang Perdana.